Sunday, March 2, 2008

MUHAMMAD MOHD TAIB CONTOH ORANG UMNO SETIA

TAN SRI Muhammad Mohd Taib adalah antara rantaian pemimpin UMNO Selangor yang masa depannya dalam parti dan negara tidak sentiasa cerah.
Dia berusaha keras menunjukkan dirinya sebagai seorang yang setia kepada UMNO, tetapi sudah dua kali berturut Pilihan Raya Umum namanya tercicir dalam senarai calon. Padahal dia adalah seorang tokoh dari barisan wawasan UMNO di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jawatan penting UMNO dulu.
Lain-lain tokoh dalam barisan wawasan itu ialah Datuk Seri Najib, Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Tan Sri Rahim Tambhy Chik. Datuk Seri Abdullah Badawi tidak dalam senarai itu. Tetapi dalam pemilihan UMNO itu yang tercicir sebagai pemenang Naib-Naib Presiden UMNO ialah Tan Sri Ramli. Kerusi yang satu itu jatuh kepada Datuk Seri Abdullah Badawi.
Tan Sri Muhammad adalah bintang UMNO yang bersinar gemilang ketika itu. Tetapi setakat ini Tan Sri Muhammad seolah-olah menuju nasib gelap yang dilalui oleh kebanyakan pimpinan UMNO Selangor sejak merdeka dulu.
Menjelang kemerdekaan dan sejurus selepas merdeka UMNO Selangor dipimpin oleh Aziz Ishak, seorang wartawan dan pengasas Utusan Melayu. Sejak Tanah Melayu membentuk kerajaan sendiri selepas pilihan raya tahun 1955, Aziz Ishak menjadi menteri pertanian. Dalam UMNO ketua UMNO Selangor ini menjadi Naib Presiden.
Namanya menonjol dalam kerajaan dan UMNO kerana projek kilang kertas dan baja usia yang dicadangkannya dalam kemenerian pertanian. Imejnya memuncak hampir menyamai Tunku Abdul Rahman Putera. Dalam satu pemilihan UMNO dia mencabar Tun Razak untuk menjadi Timbalan Presiden UMNO. Dia tidak berjaya.
Projek kilang kertas dan baja usianya tidak mendapat sokongan menteri kewangan Tun Tan Siew Sin. Tetapi dia bertegas untuk meneruskannya. UMNO Selangor berdiri teguh di belakangnya.
Bagi mengendurkan ketegangan kebinet, dipercayai, dalam satu rombakan kabinet, Tunku menukar Aziz Ishak menjadi Menteri Kesihatan. Dia menolak dan dia keluar kabinet. Dia berdepan dengan krisis dengan UMNO pusat. Menteri Besar Selangor Dato Abu Bakar Baginda bukan ketua UMNO Selangor tidak menyokong Aziz Ishak dalam krisis itu.
Akhirnya Aziz dipecat dari UMNO. UMNO Selangor tidak lagi bersamanya.
Ketua UMNO Selangor diserahkan kepada muka baru dan sekali gus menjadi Menteri Besar iaitu Dato Harun Idris. Namanya meningkat naik terutama selepas 13 Mei 1969. Selepas menjadi ketua Pergerakan Pemuda UMNO, nama Dato Harun menjulang hingga dirasakan layak menjadi calon Timbalan Presiden UMNO.
UMNO Selangor dan Pemuda UMNO bekerja untuk menjadikannya orang nombor tiga dalam UMNO selepas Tun Razak dan Tun Dr. Ismail. Dalam satu pemilihan UMNO Dato Harun bertanding untuk jawatan Naib Presiden, tetapi gagal. Tempat ketiga itu adalah antara Tan Sri Sardon Jubir, Dato Hussein Onn dan Ghafar Baba.
Dato Harun didesas desuskan terlibat dalam rasuah. Dia ditawarkan menjadi Duta ke Bangsa-Bangsa Bersatu. Dia menolak sebaliknya mahu kekal sebagai Menteri Besar Selangor. UMNO Selangor mengaku berdiri teguh mempertahankannya.
DUN Selangor yang dikuasai BN mengemukakan undi tidak percaya kepadanya sebagai Menteri Besar. Dia hanya tinggal jadi Ketua Pemuda UMNO dan ketika itu dia didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah. Dia kalah di mahkamah dan dipenjarakan. Selepas keluar penjara dia diampunkan dan dapat menjadi Naib Presiden UMNO dan tidak lama dia pun hilang.
UMNO Selangor kemudiannya dipimpin berturut-turut oleh Dato Hormat Rafaie dan Tan Sri Ahmad Razali. Kedua-dua berpuas hati menjadi ketua UMNO Selangor saja dan tidak bercita-cita jauh.
Selepas itu datanglah Tan Sri Muhammad Mohd Taib. Dia menjadi Menteri Besar dan ketua UMNO Selangor. Dalam waktu yang singkat namanya naik cepat hingga berjaya menjadi Naib Presiden UMNO bersama Najib dan Abdullah Badawi.
Popularitinya memuncak dan dia disebut-sebut bila-bila masa layak dibawa ke kabinet. Imejnya mulai mencapai apa yang pernah diterima oleh Aziz Ishak dan Dato Harun sebelumnya.
Dengan Anwar Ibrahim pula masa itu dilihat orang yang bakal menjadi pemimpin masa depan UMNO dan negara, maka Muhammad yang dilihat bersekutu dengannya sudah melayakkan diri menjadi seorang d ari pemimpin nasional.
Kedudukannya cukup kuat. Sekali pun dia kahwin lari dengan puteri Sultan Selangor, suatu yang dikira mencemarkan nama baik Sultan, tetapi ia tidak menjejaskan kerjaya politiknya. Kemudian dia bercerai pula dengan anak Sultan dengan cara luar adat, pun tidak mengapa-apakah kedudukannya dengan Istana dan politiknya.
Lepas itu timbul pula isu dia dikatakan memberi belayaran belasan juta sebagai imbuhan kepada janda anak Raja Selangor itu, walaupun di mana dapat wang sebanyak itu dibangkitkan oleh Sultan Selangor sendiri, tetapi politiknya dilihat kebal.
Hinggalah didapati membawa wang berbelas kilo semasa hendak keluar dari Australia, maka dia didakwa di makamah Australia. Kerajaan Malaysia dan UMNO pun barulah mengambil tindakan politik kepadanya; melepaskannya dari jawatan Menteri Besar dan ketua UMNO Selangor.
Kerajaan Malaysia tidak mengambil sebarang tindakan kepadanya. Kerana kesalahannya berlaku di Australia, maka dia menghadapi makamah di Ausstralia saja. Tetapi dia dibebaskan oleh mahkamah Australia. Dia jadi orang bebas semula. Dia dikira tidak bersalah kerana mahkamah tidak mendapatinya bersalah.
Bagaimana pun kedudukannya sebagai ketua UMNO Selangor tidak dipulihkan kerana ia sudah diserahkan kepada Dato Abu Hasan Omar dan Abu Hasan juga sudah menjadi Menteri Besar. Tetapi secara de faktonya dia seperti kedua UMNO Selangor juga.
Abu Hasan Omar tidak mencari kedudukan tinggi dalam politik nasional. Bahkan dia disuruh berhenti pula dari jawatan Menteri Besar dan ketua UMNO Selangor. Tetapi dia tidak pula menggantikan Abu Hasan Omar.
Ketika Dr. Khir Toyo dilantik menjadi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammadlah dikira orang yang memandu Khir Toyo untuk memimpin UMNO Selangor. Bagaimana pun jawatan yang sudah terlepas itu payah hendak diambil kembali.
Sedikit demi sedikit Khir Toyo dapat membebaskan dirinya dari pengaruh Muhammad Mohd Taib. Tiada mudah baginya untuk menjadi Naib Presiden UMNO dan untuk menjadi ketua UMNO Selangor semula.
Tan Sri Muhammad tetap menunjukkan dirinya orang yang amat setia dengan UMNO. Bagaimana setianya Hang Tuah kepada Raja Melaka, maka begitulah agaknya kesetiaan Tan Sri Muhammad kepada UMNO.
Apabila Datuk Seri Abdullah menjadi pemimpin UMNO diambilnya Muhammad menggantikan Tan Sri Megat Junid sebagai Ketua Penerangan UMNO. Tidak pula Muhammad yang tiada kerja itu dijadikan Setilausaha Agung UMNO. Setiaudsaha Agung diberi kepada orang yang ada kerja sebagai menteri iaitu Dato Radzi Shaikh Ahmad.
Muhammad benar-benar menjadi panglima UMNO. Dalam setiap pilihan raya kecil dia berkampung di situ. Dia tidak balik sehinggalah BN menang semua pilihan raya kecil itu.
Menjelang pilihan raya umum 2004 orang melihatnya berpotensi untuk menjadi calon. Banyak yang meramalkan dia bertanding di Shah Alam atau di Gombak. Memandangkan ketokohannya dan kesetiaannya dan Ketua Penerangan UMNO Malaysia pula, maka dia dirasakan akan menjadi calon.
Tetapi namanya tidak muncul dalam senarai calon BN Selangor. Walaupun dia mnunjukkan kesetiaan, kekuatan bekerja, tidak pernah bersangka buruk kepada UMNO, dia terus diuji dengan mengamanahkannya mengepalai jentera penerangan UMNO dalam kempen pilihan raya.
Dia tidak teragak-agak untuk meneriskan kerja. Jawatan untuknya tidak penting, yang penting UMNO dan BN mesti menang. Dengan UMNO sajalah dia bekerja.
Cuma beberapa tahun dulu barulah diangkat dia jadi senator dan diberi jawatan menjadi RISDA.
Menjelang pilihan raya ke 12 ini disebut-sebut juga nama akan menjadi calon. Apa pun masalahnya, dia tetap duduk dalam Majlis Tertinggi UMNO. Majlis Tertinggi itu cukup tinggi dalam UMNO. Tetapi ia belum menjamin untuk menjadi calon.
Tiba-tiba Khir Toyo keluar dengan kenyataan yang dia hanya menyenaraikan orang-orang yang bersih saja menjadi calon. Dengan segala latar belakang Tan Sri Muhammad itu tidak diketahui dia bersih atau tidak. Dan tidak juga dikethui apa yang dimaksudkan oleh Khir Toyo dengan bersih itu..
Kenyataan ketua UMNO Selangor itu menjadikan teka teki kepada peluang Muhammad untuk menjadi calon. Dan adalah benar namanya tidak menjadi calon. Dia terus setia dengan UMNO walaupun UMNO tidak lagi mencalonkannya.
Setakat ini Tan Sri Muhammad gembira menjadi macam Hang Tuah, seorang laksamana gagah berani yang tidak derhaka. Moga-moga dia tidak derhaka hingga mati.

No comments:

Post a Comment