Sunday, March 2, 2008

TIADA YANG KURANG DI KELANTAN

KETIKA UMNO berhempas pulas untuk merampas Kelantan dari PAS, rakan komponennya Gerakan yang berkuasa di Pulau Pinang seperti kurang yakin untuk mempertahankan kuasanya sejak tahun 1969 dulu.
Ketua Menterinya Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon tidak mempertaankan jawatannya, sebaliknya memilih kerusi Parlimen Batu Kawan di Seberang Perai. Dia tidak bertanding di Pulau Pinang yang sangat kurang pengundi Melayu. Peratus pengundi Melayu di Seberang Perai juga merosot, tetapi tidak seburuk Pulau Pinang.
Kemerosotan itu amat ketara berikutan dengan dasar tidak pro Melayu Gerakan. Akhirnya pemimpin Gerakan sendiri terpaksa mencari kawasan yang ada Melayu sedikit sebanyak. Nasib Gerakan bergantung pada tuah Perdana Menteri adalah dari Pulau Pinang.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib yang merasakan dirinya kuat di luar Pulau Pinang bertumpu untuk merampas Kelantan.
Tetapi apa kekurangan yang ada di Kelantan untuk mengajak pengundinya menukar kerajaan?
Kemajuan seperti negeri-negeri lain juga. Kalau kesesakan jalan raya itu tanda kemajuan, Kota Bharu juga sesak seperti Alor Setar, Ipoh dan Kuantan. Untuk mengatakan ia kurang peluang pekerajaan, anak Kedah, anak Johor, anak Perak dan lain-lain juga penuh mencari rezeki di Lembah Kelang.
Dan jika koridor ekonomi Pantau Timur itu berjaya seperti lain-lain koridor, maka tentulah Kelantan maju juga. Kelantan sudah dimasukkan dalam koridor tanpa ia menjadi negeri Barisan Nasional.
Mungkin dulu pada zaman Kelantan didiskriminasi di bawah empat Perdana Menteri, negeri itu diabaikan oleh kerajaan pusat, maka terfikir juga rakyat untuk mengikut selera negeri-negeri lain. Tetapi ternyata diskriminasi itu tidak mengubah sikap rakyat Kelantan.
Di bawah Perdana Menteri sekarang Kelantan sama ada kekal di bawah PAS atau bertukar tangan akan tetap dibangunkan mengikut program koridor yang diwarwarkan. Kalau koridor itu berjaya, maka Kelantan ikut berjaya tanpa menukar kerajaan.
Kalau Kelantan mahukan universiti, ia sudah ada universiti tanpa Kelantan diperintah BN.
Malah kerajaan dan pimpinan Kelantan di bawah PAS, mengikut Dr. Agus Yusuf, guru politik UKM dalam TV1 adalah lebih bersih dari semua kerajaan BN. Belum ada yang menyanggahnya.
Maka buat apa sebuah kerajaan yang bersih diserahkan kepada pentadbiran kumpulan politik yang tidak bersih? Ertinya menukar kerajaan Kelantan yang bersih kepada kumpulan yang tidak mengenal bersih adalah seperti memberi bunga kepada beruk, haiwan yang tidak mengenal erti endahnya bunga.
Cuma dalam mantik yang digunakan oleh ketua kerajaan PAS Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz ialah seperti orang utan mengambil kerajaan yang bersih itu untuk dimusnahkan.
Maka isu orang utan inilah yang dibesarkan oleh orang UMNO seperti beliau mengatakan mereka itu orang utan. Orang utan adalah dari keluarga beruk juga, tetapi spesis ini disebut oleh semua bangsa sebagai orang utan. Inggeris, Jerman, Perancis, Kanada semuanya memanggil orang utan.
Orang utan ini makhluk yang tidak mengenal keendahan. Beliau takut negeri bersih yang membangun dengan Islam itu, jika ditadbirkan oleh pihak yang tidak mengenal erti bersih, akan menyebabkan yang elok setakat ini akan musnah.
Negeri itu akan dilanda gejala jom heboh, keruntuhan akhlak dan lain-lain. Belum pun kerajaan itu bertukar, agen keruntuhan akhlak telah pun menyerang negeri itu dengan mengadakan majlis hiburan di hotel dengan tidak menutup aurat. Ia satu tindakan tidak menghormati dasar kerajaan negeri.
Serangan yang didalang oleh satu agen media perdana itu tidak tepat dengan janji Datuk Seri Najib untuk menjadikan Kelantan sebuah negeri tamadun Islam yang terbesar kiranya ia kuasa oleh UMNO.
Jika cakap Najib itu bukan satu propaganda, maka tidak pernah dia menunggu mengambil Kelantan dari PAS. Pahang yang di bawah pengaruhnya itu boleh ditukar menjadi negeri tamadun yang dijanjikannya itu. Tetapi hingga ini ia Najib tidak berani mengusik pusat judi Genting Highland yang jadi agen mencegah tamadun Islam.
Najib adalah pemimpin yang tidak berjaya menghalang negeri-negeri di bawah BN jadi tidak bersih. Jika dia membiarkan negeri-negeri itu tidak bersih, macam mana mahu menjadi Kelantan negeri tamadun Islam yang cemerlang. Jika Kelantan diserahkan kepadanya, samalah seperti maksud mantik Usta Nik Aziz, menyerahkan Kelantan kepada kumpulan orang utan.
Kelantan sekarang tidaklah mundur tetapi berkembang seperti negeri dan rakyat negeri lain. Lebih Kelantan di bawah PAS ia adalah kerajaan yang bersih dan masih menjadi negeri koridor atau serambi Mekah.
Hajat BN jika Kelantan jatuh ke tangannya untuk menukar semua masjid dengan bangunan baru, indah dan canggih. Dengan masjid macam itu negeri itu dikira negeri tamadun Islam. Tamadun tidak terletak pada masjid, tetapi pada kehidupan dan pemerintahannya.
Setakat ini tiada mukim di Kelantan yang tidak ada masjid. Tidak berlaku di Kelantan orang tidak sembahayang Jumaat kerana tidak ada masjid. Yang mustahak ialah memakmurkan masjid dan menjadikannya pusat kemajuan umat.
Mana-mana masjid lama yang sempit yang perlu dibesar dan dibaharui, maka boleh dibangunkan masjid baru sesuai dengan keperluan masa. Jika bangunan masih elok tetapi sempit, maka yang diperlukan membesarkannya.
Yang lebih penting ialah bagaimana mahu menjadi umat Islam berilmu dan bebas dari orang yang layak menerima zakat. Bila majoriti rakyat Kelantan jadi orang berilmu dan tidak ada orang layak menerima zakat, maka rakyat seperti itu menggunakan hartanya untuk membina masjid dan memakmurkannya.
Tetapi jika Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri merasakan Kelantan patut memiliki masjid-masjid seperti yang mereka maksudkan, maka ia boleh dilaksasnakan tanpa menunggu ia memerintah Kelantan. Seperti ia boleh membina universiti tanpa menunggu Kalantan jatuh kepada UMNO, maka ia boleh masukkan pembinaan itu di bawah RMK9 dan koridur pantai timur yang dirancang itu.
Pembinaan itu adalah kerana Allah dan ssebagai ibadat. Tetapi tidak memberi kerja kepada kontraktor UMNO. Biasanya projek-projek pembangunan dirancang lebih bertujuan untuk memberi kerja kepada pemimpin-pemimpin UMNO di berbagai peringkat.
Maka projek masjid ini adalah peluang untuk pemimpin UMNO kerana mereka itu orang Islam. Jika ia untuk memberi rezeki kepada UMNO, maka tidak berbangkit masjid itu diperlukan dan banyak alasan ia mesti dibina atau dibesarkan, tetapi memberi kerja kepada orang UMNO, masjid yang masih elok pun boleh dicadang untuk dibina baru.
Projek yang demikian, tidak lagi kerana Allah dan kerana ibadat, tetapi ia kepentingan kroni.
Sebenarnya tidak banyak isu untuk memburukkan kerajaan Kelantan kerana pada pandangan umum Kelantan boleh membangun memadaikan dengan belanjawan dan kewangan yang sederhana. Ia tidak berbelanja membazir dan ia berupaya mencapai apa yang boleh dicapai oleh orang di tempat lain.
Yang tidak dapat ditandingi oleh orang di luar Kelantan ialah di ssetiap kampung ada beberapa orang lulusan pengajian tinggi Islam di dunia seperti Mesir dan lain-lain. Di negeri lain untuk dapat seorang bagi satu daerah pun payah.
Isu yang ada pada UMNO untuk memburukkan kerajaan Kelantan ialah mengenai orang utan. Ia bukanlah yang perkara yang menyebabkan kerajaannya perlu ditukar. Isu orang utan boleh reda bila-bila masa.

No comments:

Post a Comment