Friday, January 18, 2008

BILA PERLEMBAGAAN JADI DOKUMEN HAMPAS

DR. MAHATHIR Mohamad dalam Cepter Satu bukunya Malay Dilemma memafhumkan bahawa perelmbagaan negara dilihat seperti satu dokumen hampas yang tidak berharga apabila anggota-anggota Parlimen mengikut selera masing-masing membentangkan pindaan perlembagaan sebelah pagi dan meluluskannya sebelum sempat petang.
Buku itu diharamkan oleh kerajaan ketika Tun Dr. Ismail menjadi menteri dalam negerinya. Komen itu dibuat oleh Dr. Mahathir terhadap keghairahan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putera yang acap meminda perlembagaan.
Dengan Parlimen yang dikuasai parti pemerintah – majoriti lebih dua per tiga – maka keutuhan Parlimen dan perlembagaan tidak begitu dipertahankan. Apabila terasa kerajaan hendak melakukan sesuatu tetapi ia terhalang oleh peruntukan perlembagaan, maka dengan mudah perlembagaan pun dipinta.
Usul pindaan itu dikemukakan sebelah pagi dan belum sempat petang, ia pun diluluskan. Kadang-kadang dalam masa sejam saja ia diluluskan.
Acapnya pindaan dibuat, pada pandangan Dr. Mahathir ketika itu, ia telah menjadikan perlembagaan negara seolah-olah seperti satu dokumen hampas yang tidak berharga.
Adakah di bawah pemerintahan Dr. Mahathir selama 20 tahun lebih itu hal yang sama tidak berulang, adalah suatu yang lain, tetapi ulasan Dr. Mahathir tentang keghairahan golongan pemerintah meminda perlembagaan dengan sesuka hati adalah suatu yang betul yang patut diperhatikan seserius mungkin oleh sesiapa juga yang memerintah.
Betapa perlembagaan yang amat keramat itu dilayan seperti dokomen hampas atau seperti kain buruk yang tidak bernilai berlaku lagi dalam bulan Disember lalu apabila kerajaan meminda akta pilihan raya tanpa alasan yang mendesak ia perlu dipinda.
Tidak bijaknya pindaan itu dibuat menimbulkan bantahan setengah golongan yang prihatin lalu mereka datang ke Parlimen pada hari ia dibentangkan. Orang-orang yang datang itu antaranya tetamu anggota Parlimen ditahan polis semasa berada di kawasan bangunan itu walaupun wibawa Parlimen itu tidak mewajarkan sesiapa ditahan polis.
Jika mereka hendak ditahan, maka tunggulah bila mereka keluar dari bangunan Parlimen.
Bukan perlembagaan tidak boleh dipinda. Ia bukan hukum Allah. Ia hukum yang dibuat oleh manusia. Maka ia boleh dipinda. Kelebihan dan keistimewaan manusia sebagai pentadbir di bumi, ia boleh dan berupaya membuat pindaan dan perubahan atas apa yang difikirkannya patut dipinda.
Tetapi pindaan itu dibuat mengikut pertimbangan yang wajar.
Pindaan atas akta pilihan raya Disember lalu ialah meningkat had usia bersara bagi Pengerusi dan lembaga SPR dari 65 tahun kepada 66 tahun. Itu saja.
Apa pentingnya tambahan setahun itu dibuat sedang sejak 50 tahun berkuat kuasa akta atau perlembagaan itu, tidak memerlukan peruntukan itu dipinda? Dan apa yang mendesak peruntukan itu dipinda? Apakah sistem pilihan raya itu akan kucar kacir jika ia dibiarkan tidak dipinda? Tiada satu hujah yang kuat untuk mewajarkan pindaan itu.
Sistem pilihan raya itu pada keseluruhan wajar dirombak. Ia memerlu suatu peraturan yang dapat mewujudkan keadilan, bersih dan telus. Usia pengerusi setahun lebih muda atau setahun lebih tua tidak melengkapkan sistem itu dan ia juga tidak mencederakannya. Ada tak apa. Tak ada pun tak apa.
Bantahan yang dibuat atas pindaan itu ialah tidak mahu Parlimen membuat kerja remeh, meminda perlembagaan atau akta atas kepentingan satu atau beberapa kerat yang tidak menjejaskan kepentingan umum dan awam.
Apa pincangnya sistem dan perjalanan pilihan raya kalau had umur itu tidak dipinda? Apa lebihnya bila ia dipinda? Tiada suatu yang mewajarkan Parlimen sebagai satu institusi yang penting dan mulia itu bersidang untuk meluluskan benda yang remeh itu.
Setakat ini pindaan itu dipercayai dibuat untuk membolehkan Pengerusi SPR yang ada yang sepatutnya menamatkan khidmatnya hujung tahun sudah dibenarkan berkhidmat setahun lagi bagi membolehkan dia mengendalikan pilihan raya umum yang sudah terlalu dekat itu.
Jika itu tujuannya, maka apa rasionalnya akta yang menjadi sebahagian dari peruntukan perlembagaan dipinda? Apakah dengan ketiadaannya pilihan raya itu tidak boleh diadakan? Apakah kalau dia tidak ada, maka tiada orang lain boleh mengisi tempatnya?
Bagaimana kalau dia mati menjelang pilihan raya nanti, maka pilihan raya ditangguhkan kepada satu waktu lain seperti Pakistan menangguhkan pilihan raya pada 8 Januari kerana pembunuhan Benazir Bhutto?
Jika pengerusi itu maka tiada orang lain boleh menggantikannya? Ke mana perginya anggota lembaga yang lain? Adakah mereka itu tiada kelayakan untuk menjalankan tanggungjawab itu?
Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai pegawai tadbir yang cekap dan terlatih. Apakah tidak ada orang yang boleh menjalankan kerjanya dari puluhan ribu pegawai tadbir yang ada?
Dengan menjadikan pengerusinya yang ada terlalu penting dan kepadanya bergantung kelancaran perjalanan pilihan raya, maka ia meletakkan pegawai-pegawai lain belum ada kelayakan dan wibawa atau belum boleh dipercayai.
Malaysia tidak bergantung pada seorang dua untuk menjadi Perdana Menteri. Ia punyai ramai orang yang layak jadi Perdana Menteri. Kalau Perdana Menteri yang ada mati atau berhenti atau diberhentikan, maka ia tidak meletakkan Malaysia ketiadaan orang untuk menjadi Perdana Menteri. Ramai yang menunggu untuk diberi kepercayaan.
Malah takhta Yang Di Pertuan Agong juga tidak dibiarkan kosong apa ia dikosongkan oleh Seri Paduka yang ada. Ada lapan orang Sultan dan Raja sedia menunggu bagi mengisi kekosongan. Sekaliannya layak dan berdaulat belaka.
Sepuluh tahun dulu orang merasakan tiada calon lain bagi menggantikan Dr. Mahaathir sebagai Perdana Menteri selain dari Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tetapi apabila dia diketepikan, semua menunggu untuk menggantikannya.
Malaysia belum jadi macam Lubnan tidak dapat mencari seorang Presiden sejak lebih setahun lalu bagi mengisi kekosngan yang ada.
Ketua Hakim Negara adalah jawasan kalau pun tidak lebih penting dari Pengerusi SPR, adalah sama penting dengannya. Mencari seorang ketua hakim yang berwibawa tidak semudah mencari seorang pengerusi SPR. Itu pun peraturan menentukan seorang Ketua Hakim Negara yang temat perkhidmatannya pada usia 65 tahun hanya boleh disambung jawatannya sekadar enam bulan lagi. Lepas itu dia misti diisi oleh orang lain. Rasionalnya tidak berbangkit ketiadaan orang yang layak mengisinya.
Ketua Hakim yang penting itu diberi enam bulan saja kalau disetujui oleh istana untuk melanjutkan perkhidmatan. Tetapi pengerusi dan lembaga SPR diberi setahun lagi tanpa merojokkan kepada persetujuan istana.
Tiada sebarang hujah sokongan yang kuat bagi Parlimen meminda akta pilihan raya bagi membolehkan pengerusinya bersara wajib pada usia 66 tahun. Tetapi kerajaan telah menggunakan kuasa yang ada padanya tanpa hujah yang kuat untuk bersidang bagi perkara yang remeh, yang tidak langsung ada kaitan dengan kepentingan umum, terdesak dan sebab tertentu.
Perlembagaan atau akta telah membuat peruntukan tertentu atas bermacam-macam-macam perkara dan semua perkara. Peruntukan itu adalah satu peraturan dan panduan untuk diikuti. Ia adalah panduan penyelesaian kepada setiap perkara yang berbangkit.
Boleh atau tidak boleh sesuatu dilakukan, dirujuk kepada dokumen panduan terpenting itu. Bagi menjadikan dokumen dan akta itu satu peraturan yang berwibawa dan dijunjung tinggi, maka peruntuknya perlulah dihormati dan dipertahankan.
Memang diberi kelonggaran kepada pindaan, tetapi pindaan itu adalah atas perkara yang dirasakan sangat besar dan tidak d apat tiada ia mesti dilakukan. Ia mestilah atas keperluan yang lebih besar yang menetapi kehendak keadilan dan kebenaran.
Yang patut dipinda tetapi tidak dipinda ialah akta polis yang tidak membenarkan perkumpulan lebih dari lima orang tanpa kebenaran polis. Peraturan yang menghendaki permit polis bagi satu perhimpunan lebih dari lima orang sepatutnya sudah lama dibatalkan.
Ia suatu yang benarkan oleh perlembagaan tetapi ia hanya ada dalam akta polis. Mana-mana akta yang bercanggahkan perlembagaan sepatut terbatal dengan ssendirinya. Tetapi perkara yang berlawanan dengan semangat perlembagaan yang begituj penting kepada orang ramai dan orang awam yang sepatutnya dipinda bagi dibatalkan, tidak dibuat.
Perkara yang sepenting ini yang sepatutnya dipanggil Parlimen bersidang kerana ia melibatkan kepentingan umum yang lebih besar. Berbalai Parliman bersidang untuk menentukannya. Barulah pada masa itu sidang Parlimen itu dirasa penting dan tepat dengan kedudukannya sebagai satu institusi penting negara.
Tetapi apabila kerajaan dan Parlimen bertindak untuk menunjukkan ia berkuasa dan boleh buat apa saja, maka pada masa itu Parlimen dikira sebagai satu aparat mustakbirin atau satu yang mempamerkan kesombongan dan takbur.
Ketika itu keputusannya dilihat seperti perca kain buruk yang tidak berharga. Ia menjadikan perlembagaan dan akta satu domumen hampas yang amat malang.

No comments:

Post a Comment